Wednesday, December 16, 2020

Rumitnya memahami Tritunggal


RUMITNYA MEMAHAMI TRITUNGGAL


Saya terbaca disebuah laman(1) tentang bagaimana sulitnya penganut kristian untuk menjelaskan konsep tritunggal. Laman itu mengimbau kembali zaman persekolahannya di mana guru beliau mengalami kesukaran untuk menjelaskan konsep 'satu Tuhan dalam tiga peribadi'. Guru beliau cuba menggunakan pelbagai analogi yang rumit namun semua penjelasan itu tidak membantu malah sebaliknya membuatkan kelas menjadi lebih bingung dari sebelumnya. Hanya sedikit sahaja dari beberapa analogi itu yang dapat memberi gambaran tentang apa yang cuba disampaikan. 

Selama bertahun, para teolog kristian berusaha mengenengahkan pelbagai gambaran atau contoh untuk menjelaskan tentang konsep tritunggal.

Isu yang paling rumit untuk dijelaskan ialah : bagaimana untuk memberi analogi yang paling tepat untuk menyatakan tentang wujud tiga peribadi dalam satu esensi Tuhan?

Apa yang menarik ialah, laman itu sendiri mengakui beberapa analogi-analogi yang popular sebenarnya tidaklah memberi gambaran sebenar tentang konsep tritunggal malah sebaliknya boleh memberi gambaran yang salah tentang konsep itu. Disini saya kongsikan beberapa contoh yang telah diberikan oleh laman tersebut.


Analogi 'Tiga kelopak Daun Semanggi'

Menurut laman itu, analogi ini mungkin yang paling terkenal, dimana ia dikatakan pasti akan digunakan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun di gereja-gereja seluruh negara. 


(Gambar hiasan ) Daun Semanggi atau Shamrock dalam bahasa Inggerisnya 


Kisahnya bermula apabila St.Patrick menggunakan daun tersebut sebagai ilustrasi kepada masyarakat pagan Ireland yang sukar memahami gagasan tritunggal. Menurut laman itu, ia suatu ilustrasi yang agak baik namun ia hanya boleh memberi gambaran yang betul jika entiti Bapa, Anak dan Roh Kudus difahami sebagai entiti yang tersendiri dan masing-masing adalah Tuhan sepenuhnya secara tersendiri. 

Namun malangnya pendekatan ini lebih menjurus kepada fahaman Partialisme. Dari segi sejarah, ia mendorong orang Kristian untuk percaya bahawa setiap entiti dari triniti hanyalah sebahagian dari Tuhan dan hanya menjadi Tuhan sepenuhnya ketika mereka bersatu. Ini sudah tentu suatu gambaran yang salah tentang tritunggal.


Analogi struktur air

Ada yang cuba menggunakan illustrasi struktur air untuk menganalogikan konsep tritunggal, namun sekali lagi ini juga bukan contoh yang baik. Dengan menggunakan penjelasan air yang wujud dalam tiga bentuk : ais, cecair dan wap, tentunya pendekatan ini menjurus kepada faham Modalisme, iaitu idea bahawa Tuhan hanya mewakili dirinya dalam tiga bentuk yang berbeza, tetapi bukan tiga peribadi yang berbeza.

Penggunaan ilustrasi ini seakan memberi gambaran bahawa Tuhan pertama kali memperlihatkan dirinya sebagai Bapa, kemudian sebagai Yesus, kemudian sebagai Roh Kudus. Sudah tentu ini bercanggah dengan konsep tritunggal.


Perumpamaan ayah, suami dan anak lelaki

Disana ada juga mengumpamakan tritunggal seperti seorang lelaki yang berperanan sebagai seorang ayah, suami dan anak lelaki pada masa yang sama. Dia hanyalah satu individu, namun memiliki tiga fungsi yang berbeza. Namun, ini pun masih gagal merangkumi semua aspek yang ada dalam tritunggal. Tuhan Bapa, Anak dan Roh Kudus bukanlah tiga fungsi yang berbeza, namun mereka adalah peribadi yang berbeza dan berdiri secara sendiri.

Dalam contoh tadi, seorang lelaki biasa mungkin mempunyai isteri, anak-anak dan ayah, tetapi dia mengubah peranannya bergantung pada siapa dia berinteraksi. Ini masih belum dapat dibandingkan dengan kerumitan Triniti.

Laman itu kemudian menyebut,

Jadi apa gunanya ilustrasi ini? Haruskah kita berhenti berusaha untuk menjelaskan Triniti dan hanya menerima bahawa bahasa kita tidak akan dapat memberi  penjelasan sepenuhnya merangkumi semua Tuhan itu?

"Menurut Holmes, sama sekali tidak. Dia mengatakan bahawa walaupun tidak akan ada analogi yang lengkap, namun untuk menyerah diri sepenuhnya adalah satu kesilapan."

kata laman itu lagi,

Sekiranya kisah tentang analogi daun Semanggi itu benar, maka dalam situasi opportunistik, itu tidak mengapa. Tetapi jika itulah akhir pemahaman kita tentang Triniti, maka ada sesuatu yang salah, jelasnya.

Saya rasa secara umum masalahnya adalah bahawa gambaran atau metafora yang kita ambil untuk menyampaikan tahap kebenaran tertentu, tetapi dalam masa yang semua ia juga menyesatkan dalam beberapa cara. Masalahnya timbul apabila kita bingung antara kebenaran yang digambarkan, dan apa aspek yang sebenarnya menyesatkan.

Akhinya laman itu menyimpulkan,

Terdapat jauh lebih banyak bagi Tuhan daripada kerumitan triniti dan, bagaimanapun kita memilih untuk melihatnya atau memahami kerumitan Ketuhanan, kita tidak akan pernah sampai ke sana. Sifat Tuhan yang tidak terhingga dan sifat akal manusia yang terbatas bererti kita tidak akan dapat memahami sepenuhnya kesempurnaanNya.


Kesukaran menjelaskan tritunggal

Apabila anda memerhatikan beberapa penjelasan tentang konsep tritunggal, anda akan dapati mereka sebenarnya sukar sekali untuk menjelaskannya dengan sempurna. Umpamanya dalam laman Gotquestions.org (2) dinyatakan,

Perkara yang paling sulit tentang konsep Tritunggal orang Kristian adalah tidak ada jalan yang cukup bagus untuk menjelaskannya. Konsep tritunggal mustahil difahami oleh manusia manapun, apalagi hendak menjelaskannya. Tuhan itu jelas jauh lebih besar daripada kita oleh yang demikian kita tidak boleh berharap untuk dapat memahami Dia dengan sepenuhnya. Alkitab mengajar bahawa Bapa itu Tuhan, Yesus itu Tuhan dan Roh Kudus itu Tuhan. Alkitab juga mengajar bahawa hanya ada satu Tuhan. Walaupun kita dapat memahami beberapa fakta tentang perhubungan di antara peribadi yang berbeza pada Tritunggal, akhirnya ia tidak dapat difahami fikiran manusia dengan sepenuhnya.

Tidak ada satupun daripada contoh-contoh terkenal yang dapat memberikan penjelasan sepenuhnya tentang Tritunggal. Contoh telur (atau epal), adalah contoh yang gagal sebab cengkerang, putih-telur dan kuning-telur setiap satunya adalah bahagian kepada telur tetapi setiap satunya bukanlah telur itu sendiri. Bapa, Anak dan Roh Kudus bukan bahagian-bahagian daripada Tuhan, melainkan setiap satunya adalah Tuhan. Contoh air merupakan contoh yang lebih baik namun ianya satu contoh yang gagal juga. Cecair,wap dan pepejal kesemuanya adalah bentuk-bentuk air. Bapa, Anak dan Roh Kudus bukannya bentuk-bentuk Tuhan, melainkan setiap satunya adalah Tuhan. Jadi, sementara contoh-contoh ini dapat memberikan sedikit gambaran perihal Tritunggal, gambaran yang diberikan tidaklah tepat pada keseluruhannya. Tuhan yang baqa tidak dapat djelaskan dengan menggunakan contoh-contoh yang fana.

Laman Katolisitas.org(3) ketika mengulas misteri tritunggal menyebut,

Memang pada akhirnya, Trinitas hanya dapat dipahami dalam kacamata iman, karena ini adalah suatu misteri (KGK 237.), meskipun ada banyak hal juga yang dapat kita ketahui dalam misteri tersebut. Manusia dengan pemikiran sendiri memang tidak akan dapat mencapai pemahaman sempurna tentang misteri Trinitas, walaupun misteri itu sudah diwahyukan Allah kepada manusia. 

Oleh kerana rumitnya konsep tritunggal ini difahami, St. Agustinus(4) pernah mengatakan, “Kalau engkau memahami-Nya, Ia bukan lagi Allah”. ((St. Agustinus, sermon. 52, 6, 16, seperti dikutip dalam KGK 230.)

Begitulah Tuhan dalam konsep tritunggal, sekiranya anda dapat memahaminya, maka ia bukan lagi Tuhan!


Realiti pemahaman penganut kristian masa kini

Oleh sebab itu tidak hairanlah dalam satu kajian yang dilakukan oleh badan gereja beraliran unitarian mendapati kebanyakan penganut trinitarian yang hadir kegereja sudah lama tidak mempercayai triniti kerana mereka tidak tahu apa itu triniti, atau mereka tidak memahaminya dengan baik dan dengan itu tidak benar-benar "mempercayainya," malah mereka seakan lebih kurang mengabaikan keseluruhan kedudukan doktrin tersebut.(5)

Spirit & Truth Fellowship International adalah sebuah badan non trinitarian, dan mereka telah melakukan banyak perbincangan dan perdebatan dengan penganut trinitarian sejak penubuhannya pada tahun 1989. Pengalaman yang mereka dapati adalah bahawa sebilangan besar mereka yang menghadiri gereja trinitarian secara terbuka mengaku bahawa mereka tidak tahu apa triniti, atau ketika disoal, tidak dapat menentukannya dengan tepat. Berdasarkan pengalaman mereka, banyak pengunjung gereja menganggap triniti itu hanya ada tiga entiti, Allah Bapa, Anak, dan makhluk yang disebut "Roh Kudus."

Lebih mengejutkan, sebilangan besar penganut trinitarian yang mereka temui bahkan tidak percaya bahawa Yesus adalah Tuhan!, apalagi bahawa dia adalah salah satu dari tiga oknum dalam triniti, yang semuanya adalah setara dan bersama-sama dalam satu esensi yang secara bersama membentuk Tuhan Yang Esa dalam pemahaman ortodoksi kristian. 


Rujukan :
1) Why is the Trinity so difficult to understand? - Christian Today
2) Apakah yang diajarkan Alkitab tentang Tritunggal?
3) Trinitas: Satu Tuhan dalam Tiga Pribadi
4) Agustinus dari Hippo - Wikipedia Bahasa Indonesia 
5) Do You Have to Believe in the Trinity to be Saved? - Biblical Unitarian.com





No comments:

Post a Comment