Persoalannya, apakah pemahaman masyarakat muslim terhadap istilah ini sepertimana pemahaman yang dianut masyarakat Kristian? Ini persoalan yang penulis akan bentangkan dalam tajuk kali ini.
Jika disebut 'Anak Allah', apakah biasanya bayangan yang wujud dalam pemikiran masyarakat muslim? Sudah tentu sebahagian besarnya akan memahami status ketuhanan Yesus itu disebabkan Maryam a.s melahirkannya dalam keadaan perawan. Berdasarkan peristiwa tersebut, sudah tentulah Yesus digelar 'Anak Allah' kerana ia dilahirkan dalam keadaan tanpa bapa. Namun, sejauhmana sangkaan ini?
Apa maksud 'Anak Allah' dalam pandangan Kristian?
Sebenarnya, penganut Kristian tidak mempunyai sangkaan sepertimana masyarakat muslim bahawa Yesus mempunyai hubungan biologis dengan Tuhan melalui keturunan. Ungkapan 'Anak Allah' bagi mereka bukanlah dapat disamakan dengan hubungan seorang bapa dengan seorang anak lelaki. Tuhan tidak bernikah dan mendapat seorang anak melalui pernikahan itu.
Istilah 'Anak Allah' ini boleh kita katakan sebagai istilah kiasan/figuratif. Sebagai contoh, Yohanes 17:12 di mana Yudas disebut dalam terjemahan kitab Injil bahasa Inggeris sebagai “son of perdition” (anak kebinasaan). Maksud ini berkait rapat dengan “kehancuran, keruntuhan, dan sia-sia”. Sebagai manusia, Yudas bukan anak kepada “kehancuran, keruntuhan, dan sia-sia” – tetapi perkara-perkara tersebut merupakan gambaran kepada peribadi dan kehidupan Yudas. Yudas merupakan penjelmaan kepada “kebinasaan”. Dalam aspek yang sama Yesus disebut sebagai Anak Allah.
Hal yang sama tidak jauh berbeza dengan istilah anak watan, anak sungai, anak kapal, anak kunci dan sebagainya.
Jadi, dimana letak duduknya 'Anak Allah' dalam pandangan Kristian?
Anak Allah ialah Allah. Yesus Kristus adalah Allah, sekaligus sebagai manusia. Yesus ialah Anak Allah dalam ertikata Dia merupakan Allah yang telah menjadi manusia. Didalam Yohanes 1:14 disebutkan,
Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaan-Nya, yaitu kemuliaan yang diberikan kepada-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih karunia dan kebenaran.
Yesus ialah Anak Allah dalam ertikata mukjizat kandungan ibunya telah dimungkinkan oleh Roh Kudus.
Mereka percaya, di dalam Alkitab, Isa a.s sebagai Anak Allah ertinya sama dengan Firman Allah atau Kalimat Allah. Keberadaan-Nya sebagai Anak Allah sama sekali tidaklah dibatasi oleh kelahiranNya di Bethlehem dan kematianNya di Bukit Golgota. Anak Allah itu sudah ada sebelum alam semesta diciptakan, Anak Allah itu kekal di dalam ke-Esaan Allah Yang Maha Esa dan Maha Kuasa.
Isa Al-Masih disebut Anak Allah kerana Ia Kalimat Allah dan dengan sempurna menjelaskan kehendak dan sifat Allah kepada manusia. Sebagai Anak dan Kalimat Allah, Isa menyatakan kasih dan kesucian dan keselamatan dari Allah kepada manusia.
Istilah "Anak Allah" bagi Yesus Kristus itu tidak bererti bahwa Yesus "kurang daripada Allah." Penyebutan "Anak Allah" sebab Dia adalah Allah yang inkarnasi ke bumi, dan makna "Anak" disitu adalah suatu persamaan hakikat, bahwa Dia dan Bapa sama hakikatnya, yaitu Allah.
Dan ketika Yesus Kristus dirujuk sebagai "Anak Allah" adalah sebagai sarana untuk menjadikan orang beriman menjadi "anak-anak Allah".
Dimanakah asasnya 'Anak Allah' itu ialah Allah?
Hal ini memerlukan kita untuk menelusuri apakah hujah dan asas yang digunapakai oleh mereka untuk mengatakan bahawa istilah 'Anak Allah' itu adalah Allah.
Untuk itu saya akan menyenaraikan beberapa dalil dan argumen yang mereka gunakan untuk menyatakan istilah 'Anak Allah' itu ialah Allah kemudian saya akan menyenaraikan beberapa sanggahan saya keatas dakwaan mereka itu.
Hujah pertama : Gelaran 'Anak Allah' bererti memiliki sifat yang sama dengan Tuhan Allah, maka ia merupakan suatu kekufuran bagi kaum yahudi dan layak dijatuhkan hukuman mati.
Dalilnya : "Sewaktu menghadap para pemimpin Yahudi, Iman Besar bertanya kepada Yesus, "Demi nama Allah yang hidup, beritahu kami! Adakah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah, iaitu Anak Allah?" (Matius 26:63) Yesus menjawab, "Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa serta datang di atas awan." (Matius 26:64). Para pemimpin Yahudi kemudian membuat tuduhan bahawa Yesus telah mengkufuri Allah (Matius 26:65-66). Kemudian di hadapan Pilatus, para pemimpin Yahudi berkeras berkata, "Menurut hukum kami dia harus dihukum mati kerana dia mengaku diri-Nya sebagai Anak Allah." (Yohanes 19:7)
Argumen mereka : Mengapakah pengakuan sebagai “Anak Allah” dianggap mengkufuri Allah dan layak dijatuhkan hukuman mati? Para pemimpin Yahudi cukup mengerti maksud yang diperkatakan oleh Yesus dengan ungkapan “Anak Allah”. Istilah “Anak Allah” bererti memiliki sifat yang sama dengan Tuhan Allah. Tuntutan memiliki sifat yang sama dengan Tuhan Allah ialah pengkufuran bagi orang Yahudi, oleh yang demikian mereka menuntut agar Yesus dijatuhkan hukuman mati. Anak Allah bererti memiliki sifat/'nature'/hakikat yang sama seperti Allah. Anak Allah sama dengan Allah. Mengakui diriNya memiliki sifat/'nature'/hakikat yang sama seperti Allah - ertinya mengakui diriNya adalah Allah.
Sanggahan : Pertama sekali, kita perlu mengesahkan apakah benar orang yahudi menghukum mati Yesus dalam peristiwa diatas disebabkan istilah 'Anak Allah' itu membawa pengertian bahawa penyandangnya memiliki sifat atau sebarang persamaan dengan Tuhan?
Untuk itu, kita perlu menelusuri apakah maksud 'Anak Allah' dalam perspektif kepercayaan Yahudi kerana hal ini juga termaktub dalam Kitab suci mereka sementelah mereka juga akrab dengan sebutan ini.
Sebenarnya pemahaman kaum yahudi terhadap istilah 'Anak Allah' atau 'Son of God' agak sedikit berbeza dengan pemahaman kaum Kristian. Jika kita lihat didalam Perjanjian Lama atau Tanakh, istilah 'Anak Tuhan' merupakan suatu cara untuk menunjukkan hubungan istimewa antara manusia dan Tuhan. Umpamanya, didalam Exodus, bangsa Israel digelar 'Anak sulung'. Dalam Psalms (Mazmur), Nabi Daud a.s juga digelar Anak Tuhan. Malah, istilah ini juga digunakan untuk merujuk kepada malaikat, hakim dan penguasa.
Walaubagaimanapun, istilah itu sama sekali tidak membawa idea keturunan secara fizikal, atau membawa persamaan secara zahir dengan Tuhan. Ia tidak lebih hanya sebagai satu ungkapan frasa untuk mengekspresikan sesuatu yang mewakili bayangan dari ciri-ciri ketuhanan, dari satu aspek.
Dalam tradisi Yahudi, istilah Anak Tuhan menggambarkan hubungan istimewa bangsa Israel dengan Tuhan. Mereka percaya mereka adalah bangsa terpilih, yang pertama diberkati dan dikasihi Tuhan. Umpamanya dalam Tanakh disebutkan :
"Ini adalah firman Tuhan, Israel adalah anak sulungku." (Keluaran 4:22)
"Kamu adalah anak-anak TUHAN, Allahmu ... (Ulangan 14:1)
Rabbi Maller ketika mengulas berkenaan ayat diatas menyatakan, "Adakah ini bermaksud bahawa orang Yahudi, baik sebagai individu atau sebagai umat, adalah bersifat Ilahi? Sudah tentu tidak. Tidak ada seorang Rabbi dari yang paling Ortodoks hingga yang paling reformasi yang pernah mengambil ayat-ayat Taurat ini secara harfiah. Bagaimana dengan Yesus? Bukankah dia menyebut dirinya Anak Tuhan? Tidak! Menurut Injil, Yesus sering menyebut dirinya sebagai Anak Manusia. Hanya orang lain yang memanggilnya anak Tuhan dan kebanyakan dari mereka memaksudkannya sama seperti yang dimaksudkan oleh Taurat iaitu orang suci atau umat suci. Istilah anak/anak Tuhan tidak boleh diambil secara harfiah. Ia adalah kiasan. Ia mesti ditafsirkan.
Hal yang sama pernah diulas Rabbi Tovia Singer ketika mengulas berkenaan persoalan mengapa Alquran menyelar kaum yahudi atas gelaran 'Anak Allah' ke atas Uzair. Beliau menjelaskan bahawa tidak ada didalam pemahaman Yahudi istilah 'Anak Allah' bererti sesuatu yang bersifat ilahi (devine). Adapun celaan Allah didalam surah At-Taubah ayat 30 berdasarkan tafsiran dari sebahagian ahli tafsir ditujukan kepada sebuah aliran radikal yahudi di Yaman yang ekstrem dimana kedudukan Uzair sebagai 'Anak Allah' disisi mereka sepertimana kedudukan Isa Al-Masih dikalangan Nasrani.
Berdasarkan penjelasan dari Rabbi Maller dan Rabbi Tovia ini, kita dapat lihat umat yahudi secara tradisinya tidak pernah melihat istilah "Anak Tuhan' itu sebagai istilah yang membawa pengertian secara hakiki. Hal ini tentu saja menolak apa jua bentuk yang membawa persamaan secara hakikat dengan Tuhan.
Dengan ini kita dapat lihat dakwaan golongan Kristian bahawa orang yahudi menghukum mati Yesus kerana mereka memahami istilah 'Anak Allah' itu memiliki sifat yang sama dengan Tuhan adalah salah dan batil. Maka dengan itu hujah pertama mereka telah tertolak.
Hujah kedua : Gelar 'Anak Allah' pada Yesus adalah tunggal manakala 'anak-anak Allah' adalah jamak bagi umat manusia
Mereka berhujah, "Kita dapat mulai dengan pemahaman sederhana, iaitu membezakan istilah "jamak" dan "tunggal" dalam penggelaran "anak-anak Allah" (plural) dan "Anak Allah" (singular, yang dikenakan kepada Yesus Kristus)". Umpamanya, dalam Lukas 1:32 dan Lukas 1:35 disebutkan :
"Ia akan menjadi besar dan akan disebut Anak Allah Yang Mahatinggi. Dan Tuhan Allah akan mengurniakan kepada-Nya takhta Daud, bapa leluhur-Nya,"
Jawab malaikat itu kepadanya: "Roh Kudus akan turun atasmu dan kuasa Allah Yang Mahatinggi akan menaungi engkau; sebab itu anak yang akan kaulahirkan itu akan disebut kudus, Anak Allah.
Alkitab memberi terang tentang perbezaan antara Yesus Kristus sebagai "Anak Allah" (tunggal) dan orang beriman sebagai "anak-anak Allah." Yesus Kristus adalah "Anak Allah yang Tunggal, Anak-Nya sendiri," sedang orang beriman diangkat menjadi anak Allah. Hal ini menunjukkan, bahwa ada perbezaan yang besar di antara hubungan Tuhan Allah sebagai Bapa dengan Yesus dan hubungan Tuhan Allah sebagai Bapa dengan orang beriman.
Dalam Perjanjian Baru, bentuk jamak "anak-anak Allah" ditujukan kepada manusia dengan persyaratan tertentu iaitu manusia yang diangkat oleh Allah menjadi anak kerana percaya kepada Yesus Kristus. Didalam Matius 5:9 disebutkan,
"Berbahagialah orang yang membawa damai, karena mereka akan disebut anak-anak Allah"
Penggunaan ‘anak-anak-Nya’ di sini merujuk kepada Allah sebagai Bapa Syurgawi ciptaan-Nya, jadi umat manusia sejagat adalah anak-Nya walaupun mereka mengakui kenyataan tersebut atau tidak.
Namun gelar "Anak Allah" dalam bentuk tunggal ditujukan kepada Yesus Kristus merujuk kepada kesamaan hakikat dengan Allah. Umpamanya dalam Yohanes 1:14 disebutkan,
"Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaan-Nya, yaitu kemuliaan yang diberikan kepada-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih karunia dan kebenaran."
Gelar "Anak Allah" bagi Yesus Kristus adalah "gelar keilahian," dan penempatannya berbeza dengan gelar "anak-anak Allah" yang dikenakan kepada manusia/ suatu kelompok umat.
Mereka menambah, "Tidak pernah ada seorang nabi yang disebut sebagai "Anak Allah", bahkan tidak ada gelar "Anak Allah" dalam bentuk tunggal buat manusia. Ungkapan "anak-anak Allah" dalam bentuk jamak ditujukan pertama kali kepada keturunan Set (Kejadian 6:2); kedua kepada malaikat-malaikat (Ayub 1:6); ketiga, kepada bangsa Israel; dan keempat, kepada raja-raja Israel zaman dahulu. Maka, gelar Anak Allah dalam bentuk tunggal hanya dimiliki oleh Yesus Kristus.
Sanggahan : Benarkah ada perbezaan antara gelaran 'Anak Allah' untuk Yesus dan "anak-anak Allah' untuk sekelompok umat manusia? sejauhmana kebenaran dakwaan ini? mari kita analisis.
Dalam isu ini, hendaklah kita membezakan antara isi kandungan teks dengan doktrin yang diterapkan terhadap teks. Jika kita memahami isu ini, kita dengan mudah dapat mematahkan hujah kedua ini.
Dalam sanggahan yang kedua ini saya akan memberi satu contoh bagaimana satu istilah didalam Bible yang digunapakai untuk merujuk kepada Tuhan namun ia juga digunapakai untuk merujuk kepada makhluk. Istilah tersebut ialah 'elohim'.
Saya pernah menulis berkenaan 'elohim' dalam artikel saya 'Benarkah perkataan 'Elohim' mengisyaratkan wujudnya berbilang Tuhan?, anda boleh rujuk artikel itu untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan 'elohim'.
Secara ringkasnya, saya boleh simpulkan, 'El' adalah kata umum untuk tuhan, yang kadang-kadang juga digunakan untuk merujuk kepada tuhan-tuhan yang batil. Elohim bukan sahaja digunakan untuk merujuk kepada Tuhan yang haq dan ilah yang palsu tetapi juga merujuk kepada nabi, malaikat, para raja, hakim-hakim dan juga messiah. Sebagai contoh, jika ada seseorang yang menzahirkan kekuasaan dan kehebatan, maka ia disebut elohim. Namun dalam pemahaman linguistik bangsa Israel, hal ini bukanlah merujuk kepada Tuhan yang haq dan esa, yang menjadi Tuhan bangsa Israel zaman berzaman. Genesis 1:1 adalah contoh bagaimana perkataan elohim merujuk kepada Tuhan yang Esa :
"Pada mulanya Allah (elohim) menciptakan langit dan bumi." (Genesis 1:1)
Namun disana, ada juga penggunaan perkataan 'elohim' untuk merujuk kepada Nabi. Contohnya penggunaan 'elohim' untuk merujuk kepada Nabi Musa a.s didalam Exodus 7:1 :
Berfirmanlah TUHAN kepada Musa: "Lihat, Aku mengangkat engkau sebagai allah (Elohim) bagi Firaun, dan Harun, abangmu, akan menjadi nabimu.
Contoh lain ialah bagaimana para hakim dirujuk sebagai 'elohim' didalam Psalms 82:6 :
Aku sendiri telah berfirman: "Kamu adalah allah (elohim), dan anak-anak Yang Mahatinggi kamu sekalian. --
Mari kita lihat pula bagaimana 'elohim' digunakan untuk merujuk kepada malaikat didalam Judges 13:21 dan 22 :
Sejak itu Malaikat TUHAN tidak lagi menampakkan diri kepada Manoah dan isterinya. Maka tahulah Manoah, bahwa Dia itu Malaikat TUHAN.
Berkatalah Manoah kepada isterinya: "Kita pasti mati, sebab kita telah melihat allah (elohim)."
Jika anda melihat kepada beberapa contoh ayat diatas, apakah yang membezakan antara kesemua ayat-ayat diatas? tentunya yang akan menentukan ialah konteks. Namun persoalannya siapa yang menentukan konteks ayat ini? tentu saja ini sangat bergantung kepada doktrin yang dibina oleh pendita agama masing-masing.
Mengapa tidak ada seorang pun dari kalangan penganut yahudi yang melihat Nabi Musa mempunyai persamaan hakikat dengan Tuhan sekalipun ia digelar 'elohim'? Andaikata dalam doktrin kepercayaan yahudi menetapkan para Nabi mereka atau para hakim itu mempunyai esensi atau sifat keilahian tentu hal ini boleh-boleh saja kerana mesej yang terkandung didalam teks mereka seakan menyokong dan memberi pengertian ke arah itu! Namun hal itu tidak terjadi!
Mari kita nilai pula beberapa ayat sebelum ini yang menyebut tentang 'Anak Allah'.
1) Setelah dibaptiskan, Yesus keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan Dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. Kemudian kedengaran suara dari syurga, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.” – (Matius 3:16-17)
2) Aku mau menceritakan tentang ketetapan TUHAN; Ia berkata kepadaku: "Anak-Ku engkau! Engkau telah Kuperanakkan pada hari ini. (Psalms 2:7)
Mengapa 'Anak-Ku' dalam ayat pertama yang merujuk kepada Yesus bersifat Ilahi manakala 'Anak-Ku' pada ayat kedua yang merujuk kepada Nabi Daud tidak bersifat Ilahi? Jawapannya ialah - doktrin.
1) "Ia akan menjadi besar dan akan disebut Anak Allah Yang Mahatinggi. Dan Tuhan Allah akan mengurniakan kepada-Nya takhta Daud, bapa leluhur-Nya," (Lukas 1:32)
2) Aku sendiri telah berfirman: "Kamu adalah allah, dan anak-anak Yang Mahatinggi kamu sekalian.(Psalms 82:6)
Mengapa 'Anak Allah Yang Mahatinggi' dalam ayat pertama yang merujuk kepada Yesus bersifat Ilahi manakala 'anak-anak Yang Mahatinggi' pada ayat kedua yang merujuk kepada para hakim tidak bersifat Ilahi? Sudah tentu jawapannya ialah - doktrin.
1) Jawab malaikat itu kepadanya: "Roh Kudus akan turun atasmu dan kuasa Allah Yang Mahatinggi akan menaungi engkau; sebab itu anak yang akan kaulahirkan itu akan disebut kudus, Anak Allah. (Lukas 1:35)
2) "Berbahagialah orang yang membawa damai, karena mereka akan disebut anak-anak Allah" (Matius 5:9)
Mengapa 'Anak Allah' dalam ayat pertama yang merujuk kepada Yesus bersifat Ilahi manakala 'anak-anak Allah' pada ayat kedua yang merujuk kepada pengikut yang membawa damai tidak bersifat Ilahi? Sekali lagi jawapannya ialah - doktrin.
1) Tidak seorangpun yang pernah melihat Allah; tetapi Anak Tunggal Allah, yang ada di pangkuan Bapa, Dialah yang menyatakan-Nya. (Yohanes 1:18)
2) "Ini adalah firman Tuhan, Israel adalah anak sulungku." (Keluaran 4:22)
Mengapa 'Anak Tunggal Allah' dalam ayat pertama yang merujuk kepada Yesus bersifat Ilahi manakala 'anak sulungKu' pada ayat kedua yang merujuk kepada bangsa Israel tidak bersifat Ilahi? Apa beza anak tunggal dan anak sulung? Bukankah kedua-duanya tetap anak? Sekali lagi dan sekali lagi, jawapannya ialah - doktrin.
Saya percaya sekiranya seseorang yang - tanpa mempunyai sebarang asas dalam kepercayaan agama Kristian jika dibiarkan membaca kesemua ayat diatas tanpa sebarang penjelasan terlebih dahulu, nescaya dia tidak dapat membezakan maksud kesemua ayat tersebut kerana tidak ada petunjuk jelas yang membezakan antara kesemua jenis 'anak' yang ada. Apakah yang membezakan antara Anak-Ku yang Kukasihi dengan Anak-Ku engkau!, atau antara Anak Allah Yang Mahatinggi dengan anak-anak Yang Mahatinggi? atau 'Anak Allah' dengan 'anak-anak Allah'? Yang pasti dia tentu akan mengatakan, "saya lihat kesemua mereka adalah 'anak Allah' belaka!
Dari sini kita dapat lihat betapa pentingnya peranan doktrin dalam menerapkan maksud sesuatu teks. Justeru dalam hal ini, seseorang sepatutnya bukan merujuk kepada doktrin untuk memahami sesuatu teks, sebaliknya menilai sendiri sesuatu teks itu dengan pandangan yang lebih subjektif, luas dan seimbang.
Akhirnya kita dapat membuat kesimpulan, apakah ia 'Anak Allah', 'anak-anak Allah' atau 'Anak Tunggal', sebenarnya tidak ada satu indikasi jelas yang dapat memberi perbezaan antara kesemua ayat-ayat tadi melainkan ia hanya ditokok tambah dengan doktrin yang direka-reka.
Rujukan :
1) Apakah maksud Yesus ialah Anak Allah? - Gotquestions Bahasa Melayu.
2) Yesus, Anak Allah - Sarapan Pagi Biblika.
3) Yesus Kristus adalah Anak Allah - Pesankasihdarisyurga.blogspot
4) Siapakah 'Anak Allah' di dalam Alkitab? - Sabdaharian.com
5) Apakah Yang Dimaksud Dengan “Anak Allah”? - Isadanislam.org
6) Son of God - wikipedia
7) Sons of God - Rabbi Maller.com
8) Why does the Quran condemn the jews for revering Ezra as the Son of God? Rabbi Tovia Singer reponds - Youtube
Penjejak Hakikat adalah sebuah blog yang membincangkan tentang pelbagai topik berkenaan perbandingan agama, ideologi dan fahaman.
Saturday, November 14, 2020
Maksud 'Anak Allah" Didalam Bible
MAKSUD 'ANAK ALLAH' DALAM BIBLE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment