Thursday, July 8, 2021

Sejarah kemunculan tritunggal


SEJARAH KEMUNCULAN TRITUNGGAL


Saya tertarik dengan artikel 'Did the Early Church Fathers Believe in the Trinity' dari laman Many Prophets One Message berkenaan sejarah kemunculan konsep tritunggal. Maka dengan itu, saya tertarik untuk memberi sedikit perkongsian artikel tersebut kepada pembaca semua dalam bentuk terjemahan dan ulasan. Diharap dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca semua.

Ulasan dan terjemahan santai ini saya bahagikan kepada dua artikel. Artikel yang pertama membahaskan tentang kemunculan konsep tritunggal manakala artikel kedua berkisar tentang keilahian Yesus dan Roh Kudus. Walaubagaimanapun, untuk mendapatkan pembacaan yang lebih tepat dan menyeluruh, pembaca digalakkan membaca secara terus dari artikel tersebut.

Bagi pembaca yang belum jelas dengan konsep tritunggal, penulis galakkan pembaca untuk membaca artikel sebelum ini iaitu Triniti Suatu Ilusi


Bagaimana nama yang asalnya merujuk kepada sesuatu yang majmuk namun bertukar menjadi sebutan tunggal? 

Artikel ini dimulakan dengan mendedahkan apakah pegangan awal bapa-bapa gereja. Sekiranya dapat dibuktikan bahawa mereka mempunyai keyakinan yang sangat berbeza tentang sifat Tuhan, tentu amat masuk akal untuk kita mengatakan bahawa konsep tritunggal tidak di ajar dengan jelas dalam kitab suci. 

Sebenarnya, tanggapan kita terhadap sesuatu sangat bergantung kepada acuan pemikiran yang telah dibentuk kepada kita. Kita melihat sesuatu dari kacamata yang kita gunakan dalam fikiran kita. Hal ini menarik apabila di peranggan awalnya penulis artikel tersebut menulis, 

"Walaupun saya tidak pernah menyembah Tuhan dalam bentuk Triniti, saya pernah 'berfikir' seperti seorang penganut Triniti apabila ia melibatkan persoalan sejarah. Untuk suatu waktu yang lama, saya melihat bahasa Bapa Gereja awal melalui lensa Trinitarian. Apa-apa sebutan mengenai 'tiga', atau pembicaraan mengenai ketuhanan Yesus, saya secara automatik akan mempunyai kefahaman Triniti kerana orang Kristian moden memahaminya. Ini adalah beban pemikiran Triniti yang dipikul oleh banyak dari kalangan kita, tetapi kenyataannya adalah bahawa hal itu tidak mungkin jauh dari maksud Bapa Gereja awal ketika mereka menggunakan bahasa tersebut. Senario berikut diambil dari buku Dale Tuggy "What the Trinity" dan akan membantu kita untuk memahami konsep ini dengan lebih baik:

Beliau akhirnya menyebut kisah itu dengan menarik sekali : 

Pada zaman dahulu kala, ada tiga penjahat yang sedang menjelajah di negeri itu: seorang bertubuh raksasa, seorang berambut panjang manakala seorang lagi ialah pendekar bersenjatakan pedang. Mereka membuat kekacauan di negeri tersebut sedemikian rupa sehingga legenda mereka bertahan lama; sehingga generasi demi generasi mewariskan cerita tentang mereka yang dikenali sebagai "The Triple Threat". Namun, seiring berjalannya waktu, legenda itu berubah secara aneh dimana "Triple Threat" sekarang seolah menjadi seorang pendekar pedang yang berambut panjang dan bertubuh raksasa – dimana ia merujuk kepada satu individu, dan bukan lagi tiga. Sedangkan pendongeng sebelumnya telah menggunakan "The Triple Threat" sebagai istilah rujukan jamak (sebagai suatu cara untuk merujuk kepada seorang lelaki bertubuh raksasa, seorang lelaki berambut panjang, dan seorang pendekar dengan pedangnya) namun kemudian pewaris kisah tadi menggunakan frasa ini sebagai istilah rujukan tunggal, sehingga menjadi raksasa dengan rambut panjang dan mempunyai pedang.

Hal ini sebenarnya mirip terjadi kepada konsep triniti. Pada awalnya, tidak ada kata seperti itu dalam kosakata Kristian. Istilah 'Tritunggal' tidak ditemukan di manapun dalam Alkitab. The Oxford Companion to the Bible, yang memiliki masukan dari lebih dari dua ratus enam puluh sarjana Alkitab dan akademik dari institut dan universiti Alkitab terkemuka di Amerika dan Eropah, menyatakan:

"Triniti adalah bagian penting dari doktrin Kristian yang terkemudian, namun sangat mengejutkan bahawa istilah itu tidak muncul dalam Perjanjian Baru."(1)

Istilah ‘Trinity’ juga tidak terdapat dalam perbendaharaan kata Bapa Gereja yang paling awal. Bagi pihak Gereja Katolik Roma, istilah ini pertama kali disebut pada akhir abad kedua:

"Dalam Kitab Suci belum ada istilah tunggal dimana tiga personafikasi Ilahi dilambangkan secara bersama ... Kata trias (yang mana terjemahannya adalah trinitas Latin) pertama kali dijumpai pada Theophilus of Antioch sekitar tahun 180 Masihi ... Setelah itu muncul dalam bentuk Latinnya pada Tertullian." (2)

Tidak dapat dipastikan siapa yang mencipta istilah 'Trinity', tetapi penyebutan yang paling awal diketahui adalah dari Theophilus, uskup Antiokhia pada akhir abad ke-2; lebih dari 150 tahun selepas  zaman Yesus. Mengulas mengenai hari-hari Kejadian penciptaan, dalam ucapannya pada hari keempat, Theophilus mengatakan bahawa:

”Demikianlah juga ketiga hari sebelum diciptakannya terang [pada hari ke-empat], adalah lambang dari Trinitas, Allah, dan Firman-Nya dan Kebijaksanaan-Nya.”(3)

Di sini Theophilus mendefinisikan bagi kita apa yang dia maksudkan dengan triad - Tuhan, Firman Tuhan (iaitu logo Yohanes 1), dan "kebijaksanaan" Tuhan - yang ia jelas adalah Roh Kudus. Kepercayaan Theophilus pada segitiga entiti - Tuhan, Firman Tuhan dan Roh Tuhan - tidak mempunyai persamaan dengan kepercayaan Trinitarian masa kini bahawa Tuhan wujud dalam tiga peribadi, yakni tiga peribadi yang setara atau setaraf.

Dengan membandingkan penjelasan Theophilus itu tadi dengan terma 'The Triple Threat' diatas, Theophilus percaya kepada tiga peribadi yang terpisah dan tidak menyatu antara sesama mereka, yakni : seorang gergasi, seorang yang berambut panjang dan seorang pendekar bersenjatakan pedang. Namun begitu, jika dibandingkan terma 'The Triple Threat' tadi dengan penganut Kristian masa kini, mereka menggabungkan tiga entiti tadi kepada satu wujud - yakni atribut bertubuh raksasa, berambut panjang dan bersenjatakan pedang kepada satu sosok individu. Theophilus dan beberapa orang kristian terawal, seperti Origen, Tertullian dan Irenaeus, percaya bahawa Tuhan Bapa adalah satu-satunya Tuhan yang sebenar manakala Anak dan Roh Kudus mempunyai kedudukan yang lebih rendah dari Bapa. Sebagai contoh, Irenaeus (135 - 200 CE) menegaskan pada tahun 180an bahawa semua orang Kristian perlu percaya kepada:

"... satu Tuhan, Bapa Mahakuasa, Pencipta langit, bumi, dan laut, dan semua benda yang ada di dalamnya." (Against Heresies, in The Ante-Nicene Fathers, Volume I, 309-567, 330 (Book I, Chapter 10). (4)

Penafian kesatuan dalam istilah tiga serangkai ini perlu ditekankan terlebih dahulu untuk mengelak kita dari termasuk ke dalam perangkap berfikir secara trinitarian apabila kita membicarakan ayat-ayat dalam Alkitab yang menyebut tentang Tuhan Bapa, Anak dan Roh Kudus. Tidak dinafikan adanya sebutan tiga serangkai ini dalam Alkitab, namun hakikatnya ia tidak lebih dari sebutan tiga serangkai semata-mata, tanpa adanya tambahan yang di datangkan kemudian - yakni dengan menganggap ketiganya dalam satu kesatuan. Orang Kristian secara universal percaya kepada Tuhan, Firman-Nya Yesus dan Roh Kudus. Tetapi kepercayaan kepada ketiga-tiga entiti ini tidak menjadikannya wujud dalam satu kesatuan sepertimana kefahaman tritunggal 3 dalam 1. Lebih dari itu, idea yang datang kemudian ini menyatakan pula bahawa mereka semua setara, sama kekal sekaligus membentuk satu kesatuan Triniti; konsep yang tidak wujud dalam tiga abad pertama Gereja.

Mari kita perhatikan definisi standard Triniti - "Tuhan adalah satu entiti yang selama-lamanya wujud sebagai tiga peribadi yang berbeza - Bapa, Anak dan Roh Kudus". Ini adalah terminologi Trinitarian, di mana Alkitab tidak menggunakan istilah seperti "peribadi" atau "sosok". Juga tidak terdapat dalam perbendaharaan kata Bapa Gereja awal, ia muncul kemudian. Majlis di Nicea pada tahun 325 CE yang mencipta apa yang telah menjadi istilah Trinitarian paling tradisional yang digunakan hari ini:

Kami percaya kepada satu Tuhan Bapa yang berkuasa, menjadikan segala sesuatu yang dilihat dan tidak kelihatan. Dan dalam satu Tuhan Yesus Kristus, Putera Tuhan, satu-satunya anak yang berasal dari Bapa yang berasal dari zat Bapa, Tuhan dari Tuhan, cahaya dari cahaya, Tuhan sejati dari Tuhan yang benar, yang tidak dilahirkan, sesuai dengan Bapa… ” 

Frasa ini kemudian dikenal sebagai Syahadat Nicene, sebuah peristiwa monumental dalam sejarah agama Kristian yang mewakili langkah besar ke arah penyusunan doktrin Triniti. Walaupun istilah Anak Tuhan telah menjadi "Tuhan yang sebenar-benarnya" dan Anak juga disebut "dari zat Bapa" telah menjadi norma dalam agama Kristian hari ini namun pada waktu itu ia ditentang oleh para uskup selama beberapa dekad. Beberapa kali pertemuan para uskup mengutarakan semula inovasi seperti itu, dan bantahan yang paling ekstrem dari yang berikut ini berkaitan dengan Syahadat Nicene:

"... sama sekali tidak boleh disebut tentang hal ini," dan bahawasanya "Tidak ada pertanyaan bahawa adakah Bapa lebih besar. Tidak ada yang dapat meragukan bahawa Bapa lebih besar daripada Putera dalam hal kehormatan, martabat, kemuliaan, keagungan, dan dalam nama Bapa yang sangat agung, Putera sendiri yang memberi kesaksian, Dia yang mengutus saya lebih besar daripada saya. (5)

Seberapa awal kita dapat menemukan orang Kristian yang mengaku dan percaya pada Triniti?, yakni tuhan dalam tiga peribadi di mana ketiga-tiga "peribadi" ini sama-sama bersifat ilahi? tentu dia tidak seawal yang disangka. Namun apa yang pasti, kepercayaan yang ditonjolkan ialah Tuhan dalam kesatuan Triniti, dan bukan seperti sebelumnya, iaitu Tuhan Bapa. Idea tentang satu Tuhan sebagai Triniti tersirat dalam banyak karya pada akhir abad keempat. Sebagai contoh, ahli teologi Augustine menulis pada tahun 393 CE bahawa:

"... Triniti ini adalah Tuhan yang satu, seperti yang tertulis, 'Dengarlah, hai orang Israel  : TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu esa" " (6)

Pada pandangan Augustine, Tuhan Yahweh dari Perjanjian Lama adalah Triniti, dan begitu juga sebaliknya Triniti adalah Tuhan Yahweh.

Akhirnya, rumusan standard Triniti menyatakan bahawa ada "satu Tuhan dalam tiga peribadi". Tetapi secara asasnya, apa maksud ‘peribadi’? Augustine mungkin penulis Katolik Barat yang paling berpengaruh dalam doktrin Triniti, cuba memberi kita gambaran tentang mengapa bahasa tersebut digunakan oleh orang Trinitarian. Pada 420 CE dia menyatakan dengan sangat jelas:

"Nampaknya, satu-satunya alasan kenapa kita tidak memanggil ketiga-tiganya dengan penamaan 'satu peribadi' sebaliknya kita menamakannya dengan 'satu entiti' atau 'satu tuhan' dan kita tidak memanggilnya dengan istilah 'tiga tuhan' atau 'tiga entiti' ialah kerana kita mahu ada satu perkataan yang dapat memberi bayangan apa yang kita maksudkan dengan perkataan 'Triniti'. Dengan itu kita tidak hanya sekadar berdiam apabila ditanya tentang tiga apa? selepas kita mengakui adanya tiga (Tuhan - pent)." (7)

Jadi menurut Augustine, yang merupakan seorang penganut Trinitarian, kata "Peribadi" adalah sejenis muslihat bahasa untuk mengelakkan dari terjebak dengan pengkritik Triniti. 


Bersambung dalam artikel seterusnya....


Nota kaki : 

1) Bruce Metzger and Michael D. Coogan, The Oxford Companion to the Bible, pp. 782 – 783.

2) The Catholic Encyclopedia, “De pud.”, xxi.

3) (St. Theophilus of Antioch,  To Autolycus II.15)

4) Against Heresies, in The Ante-Nicene Fathers, Volume I, 309-567, 330 (Book I, Chapter 10).

5) [Yohanes 14:28] (“The Second Creed (the ‘Blasphemy’) of Sirmium, 357” in Creeds, Councils and Controversies: Documents Illustrating the History of the Church, AD 337-461, 45-7, 46.)

6) [On Faith and the Creed [De Fide et Symbolo], translated by F.D.S. Salmond, in Nicene and Post-Nicene Fathers, First Series, Volume III, 315-33, 327 (Chapter 9, Section 16)]

7) The Trinity, translated by Edmund Hill, 228-9, Book VII, Section 11.


No comments:

Post a Comment